Selamat Pagi

May 18, 2009 at 6:56 am (Uncategorized)

Alhamdullilah, sehari lagi dibangkitkan dari tidur dengan izin Allah untuk menyambung umur yang telah ditetapkan. Boleh dikumpul lagi persediaan untuk hari kebangkitan yang sebenar kelak. Mengumpul bekalan akhirat yang kekal abadi. Diharapkan semalam diberkati umur yang telah digunakan itu dan hari ini dibukakan jalan yang lenih luas untuk membuat amal seperti yang dituntut, yang baik itu datangnya dari Allah dan yang tidak baiknya itu datang dari diri kita sendiri. Semoga sentiasa berada bawah jagaan.

Entah bagaimana, sedari dari tidur, bermain-main dalam kepala berkenaan dialog seseorang yang ditemuramah di dalam satu rancangan di radio yang ketika itu aku dengar waktu di dalam kereta (memang waktu memandulah waktu aku dengar radio). Dalam temubual itu yang diselangi pemanggil untuk membuat pertanyaan dan memberi pandangan berkenaan tajuk yang dibincangkan (dah lupa pun tajuknya beberapa hari lepas) dan salah seorang pemanggil memberi pandangan berkenaan seorang pemerintah yang baru sahaja mengambil alih tampuk pemerintahan sebuah Negara. Pemimpin itu disifatkan membawa satu slogan baru dalam pemerintahannya, tetapi ketika baru juga ia berdiri berucap dengan slogan barunya itu, beberapa hari selepas itu pemimpin yang samam menyeru atau melakukan sesuatu yang langsung tidak mencerminkan slogan yang telah ditetapkan itu. Pamanggil itu memberikan keluhannya berkenaan perkara itu. Begitulah sehingga tamat panggilan tersebut.
Yang ditemuramah dan yang menemuramah (sudah pastilah menyebelahi pemerintah yang jika tidak jangankan mereka malah radio itu juga boleh dinafikan terus kewujudannya) sehabis saja panggilan itu, respon dengan gaya agak sinis terus mengatakan adalah tidak wajar secepat itu pemerintah itu diadili sebegitu rupa. Yang ditemuramah itu pun mengulas, mengatakan yang baru naik itu baru sahaja mengambil alih tampuk pemerintahan, maka wajar kita memberinya peluang untuk melaksanakan apa yang telah dikata. Dengan lembut bicara dan susunan kata beliau memberi ulasan yang panjang lebar dan disokong oleh yang menemuramah juga. Salah satu kenyataan yang masih diingati ialah, kita harus menerima keputusan yang telah disepakati dengan hati terbuka dan memberi sokongan padanya (keputusan perlantikan pemerintahan diterajui orang yang baru pula).

Seperti baru dapat memikirkannya pula, pagi ini hal itu pula yang bermain di kepala, walhal ianya jadi beberapa hari sudah. Ketika itu tak dapat memikirkan apa-apa mungkin seperti biasa bila mendengar sesuatu seperti itu apa yang mampu dilakukan hanya tergelak kecil dan kelucuan amat terasa, lumrah.

Apa yang ingin disebutkan disini, pertamanya si pemanggil tidaklah terus mengadili dengan membabi buta, tapi pemanggil itu mempersoalkan berdasarkan apa yang tidak sepatutnya berlaku (ketika pemimpin itu baru naik dengan slogannya itulah, perkara yang bercanggah dengan slogannya itu dilakukan). Dia tidak mengatakan tak yakin atau apa saja kenyataan yang dia mengadili situasi berdasarkan andaian dan sebagainya. Dia hanya member satu persoalan yang agak menarik kerana satu soalan yang memerlukan jawapan bagi membela perlakuan yang dilakukan pemimpin itu. Bukan penjelasan berkenaan keputusan perlantikan pemimpin itu harus diterima atau tidak. Dan bukan juga persoalan ingin menutup peluang pemimpin itu melaksanakan apa yang telah dijanjikan.

Kedua, adakah kita akan sentiasa dengan situasi sentiasa memberi peluang kepada satu kumpulan yang sememangnya dari dulu sentiasa memerintah ini. Sebelum ini begitu juga, berlaku banyak kesilapan dan ketika sokonga merosot, ditukar pemimpinnya, dengan slogan yang baru diraih kembali sokongan. Pemimpin tidak melakukan tugas dengan baik, ternyata banyak kesilapan dan kesalahan akhirnya satu ledakan memprotes berlaku dan pemimpin itu ditolak. Kini ditukar lagi dengan yang lain, slogan pun dah tentu lain, kerana pemimpin sebelumnya ditolak dengan slogannya sekali. Dan sudah tentu yang baru mesti mempunyai idea tersendiri dan prinsip yang lain pula demi meraih sokongan. Jadi setiap kali berlaku penolakan, atas alasan ini mereka harus diberi peluang lagi untuk sekelian kalinya. Persoalannya berapa peluang yang diperuntukkan? Dan setiap kali peluang diberi dipersiakan dengan mudah. Jadi dengan itu berapa kali penukaran pemimpin dan slogan-slogannya akan berlaku sehingga masalah benar-benar dapat diselesaikan. Dalam masa yang sama masa berlalu, bukankah lebih tepat jika untuk diatasi masalah itu, kenyataan ‘diberi peluang ‘ itu adalah untuk satu kumpulan lain yang sememangnya lain serba serbi, bukan sekadar pemimpin dan slogan tapi segala-galanya. Yang paling penting dasar yang berlainan diatas prinsip yang berlainan. Konsep penukaran pemimpin ini tidak lagi boleh digunapakai, jika sistem, dasar dan prinsip yang sama digunakan, yang terbukti tidak berguna adalah tiga perkara ini. Yang terbukti tidak dapat melahirkan pemimpin yang sebenar dan tidak berkesan bagi sebarang bentuk penyelesaian. Ianya secara total harus digantikan dengan yang lain. Penukaran pemimpin dan slogannya sahaja berisiko perkara yang sama berulang, dimana atas konsep bahawa dalam pemerintahan Negara bukan bergantung pada seorang pemimpin tetapi kepada satu kumpulan yang dinamakan kerajaan. Ianya memerlukan kerjasama, dimana sekiranya pemimpin yang baru ini, yang dahulunya tidak berada jauh dengan pemimpin sebelumnya sudah ada peluang yang dipinta untuk diberikan ketika ini. Mereka berdiri dan bergerak dalam kumpulan yang sama. Ianya bukan tergantung pada seorang tapi semua ahli kumpulan itu. Jika ini tidak diselami, maka risikonya pemimpin abru ini apa pulak jadinya nanti, adakah jika berlaku lagi permasalahan, maka selepas ini ditolak pula beliau dan diganti pula dengan pemimpin yang lain dari kumpulan yang sama dengan slogan tersendirinya pula. Sampai bila harus begitu? Jadi kumpulan-kumpulan lain harus dibubarkanlah, begitu? Tiada perlunya.

Ketiga, terimalah keputusan ini dengan hati terbuka dan sebagainya… bilamasa adanya pemilihan. Siapa yang memilih pemimpin baru itu. Ianya diberi pangkat itu bukan atas pemilihan. Dan ketika persoalan ini datang di kepala, tawa kecil ketika mendengar rancangan itu tiba-tiba dirasakan bodoh. Terasa bodoh diri ini bila mengenagkan boleh ditawakan benda yang bodoh seperti ini. Dimana logiknya, yang disoal dan yang menyoal tidak sekata. Masing-masing dalam tajuk yang berlainan. Yang penting yang ditanya atau yang menerima komen pemanggil itu member ulasan panjang lebar tanpa jawapan atau tanpa isi kandungan yang dapat meredakan keluhan tersebut.

Maka mungkin boleh diputuskan tulisan yang lahir dari minda ku di pagi jumaat ini juga adalah sia-sia, kerana situasi di Negara kini kita berdepan sesama kita dengan bentuk percakapan yang berlainan. Satu pihak bercakap berkenaan kebenaran dan satu lagi pihak yang bercakap demi melakukan pembelaan, sokongan atau lebih tepat penafian yang berterusan.jika dibuat rumusan berkenaan isi kandungan dua kumpulan yang saling bertentangan ini bukan boleh diibaratkan seperti perlawanan bolasepak contohnya, dimana satu pasukan sedang dengan bergayanya mengawal permainan, membuat gerakan-gerakan berbahaya tetapi apabila satu pasukan itu mahu menjaringkan gol, satu pasukan lagi alihkan tiang gol. Mungkin berat tiang gol, tak dapat nak buat selalu, taktik lain pula, ditetapkan yang semua pemainnya bole menangkap bola dengan tangan. Bila pengadil beri sebarang keputusan mereka membantah malah jika diberi kad kuning sebagainya mereka ambil pula kad itu dari pengadil dan campakkannya keluar padang. Dan berbagai lagi yang tak masuk akal dan amat bertentangan dengan peraturan demi tidak mahu kalah sedangkan jika mereka main dengan betul mungkin tidak teruk mana kekalahan yang semakin jelas akan berlaku itu. Nampaknya pasukan ini hendaklah dikeluarkan terus dari pertandingan atau liga yang dianjurkan terus kerana mereka sudah menjadikan permainan bercelaru dan tidak seperti permainan langsung, malah boleh dikatakan merosakkan permainan dan penonton juga menjadi bingung dengan perlakuan mereka.

Penukaran pemain juga berlaku sewenang-wenangnya. Peraturan-peraturan yang telah dipersetujui sebagai syarat-syarat permainan kini dilanggar sesuka hati dan dituduh pula pasukan yang satu lagi bermain tipu. Jika ditonton perlawanan ini, jadi bodoh jugak kita lama-lama jadi demi kebaikan biarkan mereka di padang dan pasukan satu lagi dengan penonton yang masih waras, tinggalkan mereka itu. Kalau nak sihat nanti, baiklah agaknya mereka-mereka itu. Kita buatlah apa-apa yang patut dan apa yang perlu dengan apa yang ada dahulu. Biarkan mereka seronok sendiri, sampai mereka puas walaupun tak tahulah sampai bila agaknya.

Begitulah senario yang rasanya dapat dilihat seharian kini. Pertembungan dua pihak ini dilihat semakin entah apa-apa. Satu kumpulan dah betul dengan hujah-hujah yang mantap dan berfakta, sedangkan kumpulan satu lagi dilihat merapu meraban.

Baiklah nampaknya diri ini dah jauh melilau meninggalkan tajuk yang berdasarkan temuramah di radio yang disebut di peringkat awal tulisan ini, kalau diteruskan kemana pulaklah nanti akan dibawa, sebelum diri ini juga disifatkan merapu meraban, sebaik-baiknya berhenti disini dan pergi menyantap sarapan yang perlu dibeli terlebih dahulu. Jika tidak diisi perut ni, memang merapu sampai ke sudah la jawabnya.

Akhir kata, satu lagi PRK akan tiba, tak tahu macam mana pula bentuk persediaan dua pihak, tapi rasanya, satu lagi episode diantara yang bercakap dengan yang merapu akan berlaku. Nak senyum pun tak lalu dah, tiada kelucuan lagi dengan scenario yang berulang ini, sebaliknya kebimbangan dengan permasalahan utama Negara yang semakin serius dengan ekonominya, Agama dengan tentangan dan pengkhianatannya dan Bangsa yang yang tak tahu asal usulnya.
Wallahualam…

Leave a comment